MYCUJOO PENYIAR RASMI LIGA PREMIER 2019
...

MYCUJOO PENYIAR RASMI LIGA PREMIER 2019

By FAS_Admin
January 29, 2019
Saingan Liga Premier kali ini bakal tampil lebih meriah dengan kehadiran penyedia perkhidmatan televisyen internet, mycujoo yang menjadi rakan penaja rasmi bersama Malaysian Football League (MFL) bagi musim 2019.

Selaras dengan tuntutan tinggi daripada peminat bola sepak tempatan, MFL cukup berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan mycujoo bagi menyiarkan perlawanan siaran langsung sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan perlawanan Liga Premier.

Apa yang pasti penyokong-penyokong juga kini berpeluang untuk mengikuti perlawanan siaran langsung yang bakal disiarkan secara langsung menerusi platform mycujoo dan laman sosial MFL.

“Kami begitu teruja untuk menandatangani perjanjian ini bersama MFL,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama mycujoo, Pedro Presa.

“Perjanjian ini bakal menyaksikan kami dapat mencipta hubungan lebih erat dan dekat bersama peminat-peminat tempatan. Inilah objektif sebenar mycujoo yang mana kami mahu merapatkan lagi hubungan dengan penyokong bersama MFL bermula daripada atas sehingga ke peringkat akar umbi.”

“MFL sentiasa berusaha keras untuk memenuhi keperluan penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa mahu menyaksikan perlawanan pasukan kesayangan mereka disiarkan secara langsung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

“Kehadiran mycujoo adalah tepat pada waktunya ketika penyokong tempatan teruja untuk mengikuti perkembangan Liga Premier musim ini. Saya percaya perjanjian ini akan memberikan peluang kepada semua peminat-peminat bola sepak Malaysia untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi tidak kira mereka berada di mana jua.”

“Sasaran kami adalah untuk menyiarkan semua perlawanan Liga Premier secara langsung pada musim 2020.”

Ia pasti satu perkhabaran cukup gembira buat penyokong pasukan Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II, UKM FC, UiTM FC, PDRM, Selangor United dan Perlis di dalam dan luar negara yang mahu mengikuti perlawanan Liga Premier membabitkan pasukan kesayangan mereka.

Liputan perlawanan siaran langsung menerusi dalam talian ini bukan sahaja dilihat dapat meluaskan lagi pengaruh pasukan dengan penyokong malah mampu menarik minat penaja ke atas pasukan bertanding.

Kempen Liga Premier musim ini akan bermula dengan perlawanan PDRM menentang UiTM FC pada 1 Februari ini.

Artikel daripada : Malaysian Football League (MFL)

Post By : FAS_Admin